Kamis, 30 Desember 2010
Malaysia : Joyful Moment In Pangkor Island
Memanglah pulau ni bukan top ten kat dunia macam Sipadan atau Perhentian tapi sebenarnya pulau ni ade keseronokan dan bermacam-macam aktiviti kat sini.Pantai dier pun kire cantiklah jugak, jernih...Tapi kene pandai pilih pantai nak mandi.....Sebab kalo nak yang paling cantik tentulah dekat Coral Beach dan Pangkor Laut.So saya nak ceritakan sikit serba-serbi trip kami ke Pangkor.
Kami bertolak dari Shah Alam lebih kurang jam 9.20 pagi dan sampai ke Lumut jam 1.30 petang,perjalanan lebih kurang 4 jam then kami singgah makan di Restoran Jeti Lumut (tak ingat nama restoran kat jeti ni) dan kami teruskan perjalanan kami menaiki feri ke Pulau Pangkor. Perjalanan lebih kurang 20 minit ke Pangkor kami terus check in kat Coral Bay Resort lebih kurang 5 minit dari jeti menaiki pengangkutan yang disediakan.
Setelah selesai kami pun bersiap-siap dengan pakaian 'senang' untuk meronda-ronda dan menikmati suasana pantai di sebelah petang.Kerana tempat penginapan kami yang terlalu dekat dengan pantai,kami hanya perlu berjalan kaki yang mengambil masa 5 minit untuk ke Pantai Pasir Bongak.
Di situ kami dapat menyaksikan beberapa ekor enggang (hornbill) yang jinak dan kami sempat berjalan dan bergambar di sana.Pada malamnya kami menikmati keenakan ikan bakar di restoran berhampiran di hotel dan kemudian kami berkaraoke bersama untuk menghilangkan bosan di waktu malam.
Keesokannya aktiviti sebenar baru bermula di mana kami telah menaiki trip boat untuk melihat sendiri persona Pulau Pangkor yang kaya dengan keindahan semulajadi.Di sini kami dapat melihat pantai persendirian Pangkor Laut yang memang cantik kemudian melihat batu berbentuk penyu,buaya dan love.
Tempat yang kami pergi ialah Dutch Fort,Kilang Satay Ikan ,China Town di Sg Pinang Kechil ,Tokong Cina yang unik dikatakan boleh mendapat jodoh,Lapangan Terbang Pangkor,Coral Beach Dan Teluk Nipah.
Kami menjerit-jerit bile naik viper yang melayang-layang...agak kecut perut jugaklah saya dan sepupu yang lain, kalau you all nak rasa bagaimana rasa viper yang melambung-lambung di atas permukaan laut anda boleh cuba tapi peringatan pada sesiapa yang lemah tangan anda dinasihatkan jangan menggatal nak cuba sebab pasti korang akan tercampak ke dalam laut.
Setelah habis bermain kami semua bermain permainan Taboo dan Mafia yang sangat menyeronokan di bilik.Permainan ni memang sesuai untuk bermain bersama-sama keluarga untuk melepaskan tension.Game ni kalo dimain ramai-ramai lagi bagus,it's fun.
Keesokannya kami bersiap-siap untuk pulang dan check out.Sebelum menaiki feri kami sempat membeli cendera hati di gerai berhampiran jeti untuk rakan-rakan.Kami kemudian pulang ke Lumut dengan pengalaman yang memang sukar untuk kami lupakan.Begitu kisah percutian kami sekeluarga.Sampai di sini sahaja entri untuk kali ini.Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan syabas bagi skuad harimau malaya yang berjaya menjuarai AFF Suzuki semalam,i'm proud to be Malaysian.Anyeoong =)
Selasa, 28 Desember 2010
DIA YANG MENGEJAR
(Detik Rakaman Malam Tahun Baru)
Waktu berdiri di pintu perpisahan
kami melihat dia di sahara buana yang
berlari mendekat, cuba
menggoda batin baru dalam wadi keinsafan.
Ya, dia itu kami lihat berlari
-laju dan penuh emosi-
bagai gergasi safih yang berlumba mendakap rakus
atma baru kami.
Ketika disapa pendeta yang melihat kebobrokan tingkahnya, dia berkata riak
“Ah, jangan kautanya apa-apa. Yang kuperlu ialah mereka.”
Sambil telunjuk angkuhnya menuding ke arah kami yang
tetap tegar ingin menutup gapura masa, bersama-sama.
“Kami tidak mahu ketemu dia lagi, kami ingin menyambut hari baru
dengan jiwa pendosa insaf.”
Tetapi si gergasi safih tidak mahu mendengar
langkah diatur dengan derap berhawa.
Dia berhenti tepat di hadapan kami
memandang dengan sayu yang meruntun hati
memohon dengan simpati agar dia tidak kami biar sepi.
Kami memandangnya dengan biasa
“Kauhanya sejarah silam yang pernah
membuat kami terbungkam dalam pelukan noda dan tawa dunia.
Atas segala itu, memang kauhanya perlu menjadi sejarah
yang tidak akan kami bongkar dalam peri hidup kami,
walau seribu tahun lagi.”
WARDAH MUNIRAH
Fakulti Penulisan, ASWARA
Berita Minggu, Disember 2009
Minggu, 26 Desember 2010
King Bakery Tak Gu
TEA FOR BEAUTY
Sabtu, 25 Desember 2010
Korean Variety Shows
Seronok tgk rancangan ni.....Kalo tgk ngan family msti ketawa terbahak-bahak punya.Ok sampai disini jer... anyeooong .=)
Jumat, 24 Desember 2010
Omija Berry
Di Korea pula ia dihidangkan sebagai teh herba dan lebih dikenali sebagai Omija digunakan sebagai minuman tradisional bagi masyarakat di negara itu kerana khasiatnya yang mampu menghilangkan dahaga pada musim panas dan juga meningkatkan tenaga.Ladang Omija yang paling popular adalah di Mungyeong, Korea kerana ia menjadi pusat pengeluar Omija yang terbaik di dunia.Oleh kerana khasiatnya yang tinggi, saintis telah melakukan banyak kajian terhadap berry ini dan mendapati Omija bukan sahaja membantu memulihkan kulit yang rosak malah ia juga membantu menyeimbangi kelembapan kulit serta menghaluskan struktur kulit.Jadi tidak hairanlah produk berjenama antarabangsa Skin Food mengeluarkan beberapa set penjagaan kulit bagi mencantikkan serta mencerahkan kulit.Jadi bagi sesiapa yang inginkan kulit yang cantik cuba-cubalah guna Skin Food Omija.Dan pada sesiapa lak yang pergi ke Korea,saya nak kirim teh herba Omija 10 kotak nak buat bisnes kat sini hehehe.Ok sampai sini jelah entri untuk kali ini selamat menyambut hari natal bagi semua rakyat Malaysia.Saranghey =)
Kamis, 23 Desember 2010
MATINYA SEORANG PATRIOT: FILEM MERENTAS ZAMAN
Permulaan kisah ini adalah kematian Haji Shaaban. Adegan pengebumian Haji Shaaban dan ratapan isteri serta anak-anaknya. Sebagai seorang ketua persatuan politik dan penghulu Kampung Tualang yang begitu disegani dan dihormati, kematian Haji Shaaban yang begitu berpengaruh sewaktu hayatnya membuka ruang dan peluang kepada musuh-musuh politiknya dalam Melati Holdings untuk merampas kepercayaan masyarakat terhadap Haji Shaaban. Ahli Lembaga Pengarah bersepakat untuk memujuk lima anak syarikat Melati Holdings yang dipegang Haji Shaaban sebelum itu agar beralih kepada mereka bertiga (Yusoff, Jamali dan Kadeem).

Sebab akan kematian Haji Shaaban hanya diketahui khalayak penonton apabila watak Safuan (Zain Zulkifli) memberitahu ibunya betapa dia dan adik-adiknya mengetahui akan sebab kematian ayahnya. Adegan ini jugalah yang membongkar rahsia ibu mereka. Dato' Yusoff yang dilanda rasa takut setelah Jamali dan Kadeem mati dibunuh secara misteri akhirnya pergi ke rumah Safuan untuk bertemu dan mengakui kesalahannya kepada isteri Haji Shaaban. Melalui Dato' Yusoff, Jamali yang mempunyai maklumat mengenai sejarahnya sebagai model lucah kepada seorang Inggeris sebelum berkahwin dengan Haji Shaaban ialah alat paling berkesan untuk menjatuhkan Haji Shaaban. Kadeem dan Jamali yang menemui Haji Shaaban dan membongkar rahsia isterinya itu menjadi terkejut lalu diserang sakit jantung yang membawa kematian.
Safuan, Saiful, Sabri dan dua saudara lagi telah tekad untuk menuntut bela atas kematian Haji Shaaban. Saiful yang berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja di Syarikat Leong telah mengambil peluang untuk menjadi dekat dengann Yohanis, anak tunggal Dato' Yusoff sebagai memenuhi agendanya membalas dendam. Walau bagaimanapun, Saiful (Eman Manan) telah jatuh cinta dengan Yohanis sekali gus melanggar janjinya dengan saudara lain untuk melunaskan dendam mereka.
Di antara permulaan dan pengakhiran naratif, beberapa siri pembunuhan yang dilakukan oleh individu yang mahir dengan silat telah membuatkan khalayak menyangka bahawa Saiful yang melakukannya. Pembunuhan Jamali dan Kadeem dengan kejam menimbulkan persoalan. Hubungan cinta Saiful dengan Yohanis seolah-olah menjadi wadah penyampaian secara samar bahawa mangsa seterusnya yang akan dibunuh oleh Saiful ialah Dato' Yusoff, ayah Yohanis. Namun demikian, khalayak akhirnya diberitahu bahawa Saiful tidak langsung termasuk dalam segala urusan pembunuhan yang menimpa Jamali dan Kadeem. Sebaliknya, Safuan dan empat saudara lain yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan. Keempat-empat mereka menyerah kepada polis dan bersetuju bahawa Yohanis tidak bersalah dan tidak boleh diapa-apakan. Yohanis dijadikan sandaran agar menyayangi dan menjaga Saiful dengan baik.
Selain membawa kisah dendam, perjuangan menuntut bela, filem yang ditulis dan diarahkan oleh Rahim Razali ini mengangkat isu politik dan budaya yang kekal menjadi topik perbincangan sepanjang zaman. Kepincangan politik yang wujud dalam Melati Holdings tercitra melalui imejan rasuah ahli lembaga pengarah, kedunguan Dato' Yusof sebagai pengerusi yang gagal memimpin ahli lembaga pengarah serta isu rasuah yang dilakukan Jamali dalam 'membeli' kepercayaan lima anak syarikat Melati Holdings. Dalam masa yang sama, "Matinya Seorang Patriot" dengan lantang mengutarakan perbincangan kebudayaan dan kesenian tradisional / tempatan yang seolah-olah terpinggir akibat daripada keghairahan golongan yang begitu mahu mengangkat nilai budaya universal dalam kalangan masyarakat tempatan.
Melalui watak Hasnol, kebudayaan tradisional dianggap sebagai mundur. Bagi menjayakan sesebuah persembahan, budaya atau seni universal itu perlu digabungjalinkan agar seni tradisi yang dibawa tidak memperlihatkan unsur perkauman. Fikiran Hasnol ini ditentang oleh Saiful dan Yohanis yang menganggap seni tradisional itu telah pun bersifat universal apabila contoh tarian zapin dan inang yang diberikan sebenarnya telah pun menerima pengaruh dari Parsi mahupun Arab.
Selain naratif dan pemikiran yang dibawa, filem ini juga menarik apabila berjaya bermain dengan visual dalam menyampaikan makna yang tersirat. Perlambangan-perlambangan dalam setiap adegan yang dipaparkan memberi bayangan kepada khalayak untuk berfikir. Dari aspek penggunaan dialog, jelas sekali filem yang pernah memenangi tujuh anugerah dalam Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) ini memanfaatkan penggunaan dialog yang singkat namun padat. Hal ini sejajar dengan fungsi layar putih itu sendiri yang seharusnya lebih bermain dengan unsur visual sebagai penggerak cerita dan bukanlah dialog semata-mata seperti yang wujud dalam kebanyakan filem kini. Permainan psikologi dan gambaran awal tentang pembunuhan melalui watak ibu kepada lima bersaudara sangat menarik walaupun jarang dilakukan.
Anugerah yang dimenangi "Matinya Seorang Patriot"
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Pelakon Lelaki Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Jurukamera Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Pengarah Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Filem Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Penyunting Filem Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Lakon layar Terbaik
Meskipun filem ini mempunyai naratif, sinematografi dan landas penggayaan yang menarik, sisi kaca mata seorang Islam tentunya tidak dapat menerima sebarang adegan dan paparan yang boleh disifatkan sebagai melampau. Adegan cinta Yohanis dan Saiful, adegan kekasih gelap Jamali dalam bilik mandi ialah adegan-adegan yang menjatuhkan karya ini untuk dilihat sebagai terbaik secara keseluruhannya apabila diadunkan dengan nilai dan falsafah pemikiran Melayu-Islam yang membugar dalam karya ini. Walau bagaimanapun, kecemerlangan karya ini dalam mengangkat wacana besar dengan aspek penghasilan yang bermutu tidak dapat dinafikan. Sungguhpun karya ini sudah berusia lebih daripada dua dasawarsa, garapan dan inti di dalamnya masih wajar dan bersifat merentas zaman.
Rabu, 22 Desember 2010
Western Cuisine
Gadget Blackberry Apple Motorola LG
What do you think?Cannot wait for 2011?Haha this is just illustration but i will try to get more info and i will post all this gadget features in my next entry.See U Soon. =)
Selasa, 21 Desember 2010
USAI PETA 2010
Setelah dua calon yang menghasilkan novel dinilai, Asrul Sany mengambil gilirannya sekitar jam 11:30 pagi. Bagi calon-calon yang menghasilkan genre drama pentas, panel penilai terdiri daripada Dr. Solehah Ishak, En. Mazlan Tahir dan Tn. Hj Abdul Rahim Abdullah. Seramai lima orang calon telah menghasilkan naskhah drama pentas. Dua daripadanya memilih genre bukan realisme iaitu Nur Fatiha Fadila dan Mohd Fairuz Padoli. Asrul Sany dan Siti Rabiatul Adawiyah pula memilih genre muzikal manakala Siti Fairuz Mohd Rawi dengan genre realisme. Dengan keadaan Dewan Kuliah Utama itu sendiri yang sememangnya sangat dingin, calon sendiri berasa hampir kaku dan 'sesak nafas' sebelum pembentangan dimulakan.
Saya sendiri telah muntah lebih daripada 10 kali sebelum giliran saya tiba. Sepanjang pengajian dan apa-apa pertandingan yang saya sertai sejak zaman persekolahan, tidak pernah saya mendapat giliran kedua terakhir seperti yang berlaku dalam pembentangan PeTA ini. Hal ini agak menggelisahkan saya. Setiap orang mengatakan bahawa pembentangan sentiasa mudah bagi saya. Mustahil untuk saya berasa gusar dan gelisah. Namun demikian, itulah hakikatnya. Saya tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam. Saya bersiap diri pada paginya dengan penuh rasa kantuk. Saya berasa sesak nafas dan segala macam rasa tidak indah prapembentangan saya. Fikiran saya begitu takut memikirkan kemungkinan penyelia tidak dapat menanggapi apa-apa yang cuba saya sampaikan.
Sewaktu makan tengah hari, saya hanya menikmati sedikit juadah dan segera meninggalkan kafe untuk ke surau. Saya perlukan masa sendirian untuk seketika sebelum berjuang memasuki Dewan Kuliah Utama untuk sesi seterusnya. Sendirian, saya berasa terharu mengenangkan detik-detik akhir sebelum pembentangan. Tidak pernah saya menangis sebelum melakukan apa-apa pembentangan walaupun berada dalam ketakutan kecuali petang Isnin itu.
Sewaktu awal pembentangan, saya agak gugup. Saya menarik nafas panjang. Berselawat dan terus berselawat. Alhamdulillah, saya berjaya menghilangkan rasa gugup lima minit sesudah pembentangan. Saya sangat bersyukur kerana berupaya untuk menjawab setiap soalan yang diberikan penilai. Cuma, saya agak tersentak dan terkejut dengan pertanyaan Dr. Solehah Ishak sama ada saya seorang feminis atau tidak. Agak sukar saya menjawabnya kerana sewaktu mengarang saya tidak pernah memikirkan sama ada saya seorang feminis atau tidak. Saya bersyukur juga kerana soalan-soalan penilai memberi ruang untuk saya memberi penjelasan mengenai Cendera Di Hujung Nara. Ada banyak perkara yang boleh saya baiki lagi mengenai naskhah itu dan saranan juga pandangan para penilai sangat saya hargai.
Usai menamatkan pembentangan, saya dan rakan-rakan giat berfoto. Merakamkan kenangan manis dan detik-detik terakhir kami di daerah tercinta. Pulang ke rumah, tubuh dan minda berasa terlalu letih. Saat menanggalkan kad matrik, saya menarik nafas panjang. Sayang dan sedih sekali hati saya untuk menyimpan kekal kad matrik tanpa digunakan lagi seperti selalu. Sedih dan sayang untuk menanggalkan gelar mahasiswa Fakulti Penulisan, ASWARA yang saya sandang selama tiga tahun ini. Penghargaan saya terhadap fakulti dan guru-guru saya begitu tinggi. Ya, saya seorang murid yang mungkin agak nakal, mempunyai kedegilan dan keegoan yang tersendiri. Untuk itu, saya memohon ampun dan maaf daripada guru-guru saya yang sememangnya sangat baik hati. Memberi amaran, memberi pengajaran, memberi teguran dan pengetahuan yang sungguh bererti kepada saya. Saya tidak boleh menyembunyikan keterujaan saya dan terima kasih serta penghargaan saya kepada kalian. Terima kasih yang tiada sempadan.
Saya ialah sehelai kain putih. Datang dan masuk ke dalam Fakulti Penulisan, ASWARA tanpa apa-apa pengetahuan mengenai sastera. Kalianlah yang memberi warna dan mencorakkan saya untuk mengenal sastera, mencintai sastera dan mendalami peranan seorang pengamat dan penggiat sastera. Sebelum memasuki fakulti tercinta ini, saya tidak pernah melihat lambaian pohon hijau lebih daripada lambaian biasa tanpa apa-apa makna. Saya tidak pernah mengagumi indahnya bulan di dada malam dan mengapresiasi uniknya pelangi di kaki senja. Semua itu saya perolehi apabila menjejakkan kaki ke Fakulti Penulisan, ASWARA.
Rasa sayang juga kepada teman-teman sepengajian yang sentiasa bersama sejak awal semester. Segala rasa dan pengalaman terhimpun menjadi satu yang lantas segar sebagai memorabilia sepanjang masa. Terima kasih Fakulti Penulisan, ASWARA kerana menerima saya. Terima kasih kepada para pensyarah yang gigih, ikhlas dan penuh tanggungjawab mendidik saya mengenal dunia dan permainan di dalamnya. Sesungguhnya, jasa kalian tiada bertepian. Sekadar ingatan dan doa yang dapat saya hadiahkan sebagai tanda penghargaan besar saya terhadap jasa dan budi baik kalian. Tiga tahun di Fakulti Penulisan, adalah takdir indah yang Allah berikan kepada saya. Terima kasih buat pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan yang memberi warna begitu indah dalam diari hidup saya.
Tiba di rumah tadi, saya menerima sms daripada pembantu tadbir, Kak Nani Darlina berbunyi "Salam adik dan kakak, thanks for everything. Saya x kan lupakan anda semua kerana bagi saya di dlm banyk2 batch, PeTA,batch andalh yg paling best dan sukar untuk dilepaskan dari sangkar penulisan. Mohon ampun dan maaf kira ada silap dan salah. Good Luck :P"
Saya sendiri, kalau boleh tidak mahu meninggalkan sangkar emas yang terlalu saya sayangi ini..