Minggu, 21 Februari 2010

SIRI WACANA INDUSTRI KREATIF 1

ADALAH dimaklumkan bahawa satu wacana Bersama Pereka Bentuk Grafik Cereka (Cereka Bergambar) Azalan Hussain dan Norazmi Mokhtar akan diadakan anjuran Fakulti Penulisan, ASWARA. Berikutnya merupakan butiran tentang wacana :

Tarikh : 25 Februari 2010 (Khamis)
Masa : 10.30 pagi - 12.30 tengah hari
Tempat : Bilik Persidangan Utama ASWARA
Bayaran : RM 25 untuk peserta luar ASWARA

Kaedah pembayaran adalah menerusi Kiriman Wang atau Wang Pos dibuat atas nama AKADEMI SENI BUDAYA DAN WARISAN KEBANGSAAN atau membuat pembayaran secara tunai semasa program Siri Wacana Industri Kreatif 1.

Untuk sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Cik Nani Darlina Ramli (03-26975766 atau e-mel crystal_myv@yahoo.com)

atau

Tuan Haji Mohd Faizal Musa (03-26975609 atau e-mel tehranifaisal@yahoo.com)

PERMATA TERPINGGIR

PADA SATU hari, saya berada di satu sudut. Sedang berusaha melakukan penterjemahan. Saya sendiri pada waktu itu. Aman sekali. Tiba-tiba saya mendengar kerusi di hadapan sudut saya bergerak. Dua orang baru tiba dan duduk di hadapan sudut saya yang berhalangan dengan kanvas. Mereka rancak berbual tentang sebuah drama terbaharu di sebuah stesen televisyen tempatan. Saya tahu tentang drama itu dan pernah juga menontonnya beberapa kali. Saya membiarkan perbualan mereka walaupun tidak sepatutnya di situ mereka cipta perbualan. Saya tidak berasa begitu terganggu kerana kerja penterjemahan tidak memerlukan saya memerlukan suasana yang sangat sunyi dan sepi seperti menjalani proses pembacaan dan penulisan.

Walau bagaimanapun, hati saya tersentak apabila mendengar perbualan mereka tentang anak. Seorang daripada mereka bercakap dengan lagak ingin memprovokasi rakannya. Rakan yang rasa diprovok itu menjawab dengan selamba :

Ah, buat apa? Gila dot. Leceh. Nak jaga dia menangis. Aku kalau dah kahwin, kurang-kurang lima tahun baru aku nak anak. Awal-awal kahwin kau dah nak anak, enjoy pun tak puas. Lepas tu kau menyesal. Hampeh.

Saya terkesima. Mereka juga tidak lama di situ. Sebuah panggilan telefon membuatkan mereka meninggalkan ruang. Suasana kembali aman seperti sebelumnya. Namun, pemergian mereka memberi kesan kepada saya untuk teringat pula akan kes seorang bayi yang diliwat oleh bapanya sendiri akhir bulan lalu dan kes seorang bayi yang dibakar di dalam sebuah tong sampah awal bulan ini. Ingatan itu mengheret pula saya untuk berfikir tentang kekejaman yang dilakukan ibu bapa sendiri terhadap anak yang dilahirkan.


Ibu bapalah yang menjadi asbab kepada kelahiran bayi comel yang senyumnya merupakan senyum paling ikhlas di dunia. Anak menjadi simbol kecintaan yang didasari pada sebuah jalinan hubungan yang diredai Tuhan. Boleh juga dianggap mereka sebagai satu bebanan jika hadirnya tanpa panduan agama dan fikiran waras terhadap tindakan yang dilakukan. Saya yakin, setiap individu tidak sewajarnya mengambil mudah persoalan anak. Setiap anak harus disayangi, dibimbing dan dibesarkan dengan baik agar kelak mampu memelihara ibu bapa dan mampu pula memberi syafaat di akhirat nanti. Tindakan ibu dan bapa yang membunuh serta membuang anak sendiri memang merupakan satu tindakan di luar batas kemanusiaan. Dan kelak, apabila diri sudah tidak bermaya dan keseorangan membelah usia tua, barulah mula mengingati semula anak yang sudah dibiar hina dan diperkosa haknya di dunia. Ketika itu barulah timbul rasa kesal atas segala perlakuan terhadap amanah Allah kepada mereka.

Setiap perhubungan yang dijalin harus diteliti secara tuntas dalam segenap aspek. Tujuan perhubungan, apakah untuk ke satu bahtera perkahwinan yang diredai Tuhan? Apakah untuk mengikuti sunnah rasul junjungan? Apakah untuk bersuka-sukaan tanpa haluan?

Apakah perlunya pula satu perhubungan sekiranya persoalan di atas tidak mampu dijawab dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab? Sesungguhnya, cinta itu satu fitrah namun salah tafsir dan salah haluan akan menyebabkan cinta menjadi fitnah yang hanya menghunjam pemiliknya ke lembah murka dan hina semata-mata. Dalam berhubungan, saya fikir sangat perlu untuk setiap inidividu menelaah dengan lebih dalam dan waras agar tidak ada apa-apa kekesalan dan kesalahan yang akan dilakukan kesan salah fikiran pada awal perhubungan. Dan yang penting, tiada insan tidak berdosa yang mendapat bahana dan ditimpa kekejaman atas salah fikiran dan awal tindakan yang tidak dipasakkan pada hukum Tuhan. Sekiranya sudah terlanjur melakukan sesuatu yang menyebabkan kelahiran mereka tanpa halal, usah pula diulang keterlanjuran dosa dengan membunuh serta menzalimi mereka. Sungguh, mereka tidak pernah bersalah dan sentiasa mulia di sisi pencipta. Tidak wajar bukan, membunuh dan menzalimi satu nyawa hanya untuk menutup malu yang pada akhirnya tetap akan dilupakan orang?

Seterusnya, saya teringat pula akan lagu Keluarga Bahagia yang pernah saya nyanyikan sewaktu menganggotai kumpulan nasyid di sekolah menengah dahulu. Ketika itu saya di tingkatan satu dan dilantik sebagai ketua kumpulan nasyid. Ustazah memberi tanggungjawab kepada saya untuk menggubah lirik lagu Keluarga Bahagia itu kepada bentuk lain namun tidak lagi saya ingat bentuk yang saya gubah itu. Hai, berlarutan pula ingatan saya disebabkan perbualan mereka itu.

Keluarga Bahagia

Sedamai taman firdausi
Limpahan kasih sayang sejati
Seharum semerbak kasturi
Mengharumi hidup insani

Indahnya damainya
Keluarga yang bahagia
Itulah idaman impian setiap insan
Yang dahagakan belaian
Serta kasih dan syaang

Ketika insan lain berbahagia
Bersama keluarga
Namun kita masih meniti
Titian rapuh perhubungan

Mengapa kita terpisah daripada rahmatNya
Mungkinkah kita seringkali melupakanNya
Ayuhlah bina semula
Keluarga diredhai Allah

Oh ayah oh ibu dengarlah rintihan
Dan luahan hatiku yang dahaga kasih
Jiwaku merasa terseksa ketandusan kasihmu
Marilah kita bina bersama-sama
Keluarga bahagia

Ayah ibu
Luangkanlah sedikit masa bersamaku
Ku rindukan kemesraan
Dan belaianmu

Saujana

Sabtu, 20 Februari 2010

HANYA DI MERCU

SAYA jarang mendengar lagu. Cuma, dalam keadaan tertentu sahaja lagu menarik perhatian saya. Saya telah mendapatkan vcd Akademi Sastera 2 daripada seorang pegawai Januari lalu. Dalam rakaman tersebut, ada sebuah lagu sebagai latar di penghujung rakaman dan lagu ini sangat menambat hati saya sejak hari pertama saya mendengarnya. Sering juga lagu ini saya nyanyikan sendiri walaupun saya sedar ada liriknya yang pincang sungguh dari lirik asal. Saya suka akan nada lagu dan isi di dalamnya. Pada satu hari, saya mencari lirik lagu tersebut melalui internet. Barulah saya tahu, lagu tersebut berjudul Hanya Di Mercu dan dinyanyikan oleh Ayu OIAM. Setiap kali mendengar lagu tersebut pada sedutan terakhir rakaman, ada sesuatu yang menyentuh perasaan saya. Lalu, di tapak ini saya abadikan lagu tersebut.

HANYA DI MERCU

Mimpi dan harapan
Cecita yang tinggi menjulang
Tak pernah terluahkan
Hanyalah di hati tersimpan
Terpendam
Keterbatasan diriku menjadi penghalang

korus:
Sampai bila aku bertanya sampai bila
Ku harus mencuba

Bila lagi desak hatiku bila lagi
Aku harus berani
Lalu ku bangkit tegak berdiri
Mengatur langkah ku terus mendaki
Cita-citaku
Di mercu

Mimpi dan harapan bagaikan duri yang mencengkam
Seandainya ku biar cecita dihati tersimpan
Terpendam
Keterbatasan tak wajar menjadi penghalang

Bridge:
Aku mencari kekuatan
Dalam kelemahan
Aku temui kejayaan
Dalam keberanian

Lagu: Aubrey Suwito
Lirik: Habsah Hassan



Sangat suka melihat wajah mentor AS yang ini. Senyuman tiada tandingan.

Jumat, 19 Februari 2010

BUKAN BURUNG

BEBAS. Itu yang sering dilihat apabila berfikir tentang dunia burung. Bebas terbang membelah langit biru. Ke mana sahaja ingin singgah dan ke mana sahaja ingin berlabuh, semuanya boleh diurus sendiri hanya dengan sepayang sayap yang ada. Namun, menjadi burung tidaklah sebebas yang disangka. Terbangnya tidak semudah yang dilihat. Sewaktu kecil, tidak sekali anak burung jatuh dari dirinya waktu ingin membiasakan diri terbang; dengan harapan mahu membelah awan. Kala gembira berterbangan di kanvas langit, burung boleh sahaja didatangi ajal pelbagai rupa. Bisa ditembak oleh pemburu tanpa belas. Bisa dikejar garuda celaka yang hanya tahu membunuh si kerdil dengan paruh saktinya. Bisa jadi pelbagai lagi ketika diri terasa bebas melambai daratan yang ditinggal jauh di bawah.



Sewaktu kecil, masih kecil. Saya selalu berfikir alangkah indah dan seronoknya menjadi burung. Dapat terbang tinggi dan menuju destinasi dengan segala ceria. Dapat bernyanyi gembira di pagi hari, memeriahkan hati insan yang mendengar kicaunya. Yang saya seronokkan hanyalah kelebihan burung untuk terbang. Mudah bergerak dan tidak terbatas. Namun, itu fikiran saya dahulu. Kala diri metah muda dan mentah. Tidak kenal erti dan tanggungjawab kata hidup. Meningkat dewasa, saya menyedari bahawa manusialah sebaik-baik makhluk yang diciptakan. Tiada yang terbaik selain manusia. Menjadi burung hanya indah untuk kawanan burung, bukan manusia.

Sesudah itu, saya melepaskan segala kenangan dan impian tidak benar yang pernah saya bayangkan itu. Bayangan ingin menjadi burung dan lepas gembira membelah angin hidup. Saya semakin bersyukur menikmati hidup sebagai manusia yang telah terlalu banyak istimewanya. Menjadi burung hanya sekadar masa lalu yang sekali-sekala singgah di benak untuk menyegarkan ingatan. Ingatan yang menjadi sejarah bagi manusia yang terus mendepani masa.

Tidak lagi menjadi burung.

Kamis, 18 Februari 2010

DI JARI AKSARA MENARI MENGINJAK USIA

19 FEBRUARI 2009 merupakan tarikh Di Jari Aksara Menari ditubuhkan. Sebelum itu, saya tidak begitu terdedah dengan aplikasi laman blog ini. Saya dibayangi rasa rendah diri untuk menulis. Berasa tidak layak untuk menulis. Walau bagaimanapun, mengikuti Bengkel Deklamasi Puisi di Kuantan pada awal Februari memberi keyakinan kepada saya. Meskipun bengkel tersebut merupakan bengkel deklamasi puisi, namun pengisian program yang disaratkan dengan motivasi untuk berkarya dan mendeklamasi memberi suntikan semangat kepada saya yang sering mempersoalkan kemampuan diri untuk berada dalam dunia sastera ini.

Bengkel tersebut diadakan selama empat hari empat malam di Hotel Seri Malaysia, Kuantan. Perjalanan dimulakan dengan kesihatan saya diserang demam serta batuk yang berlanjutan hingga akhir bengkel. Ingatan saya terhadap memorabilia berada dalam bengkel tersebut sangat kuat. Dengan menyertai bengkel tersebut, saya membina jalinan perkenalan dengan rakan fakulti sama ada dari peringkat diploma mahupun ijazah. Saya mengenali kebanyakan mereka sebagai individu yang berbakat. Kebanyakan daripada mereka juga sudah mempunyai status sebagai penulis baharu yang mantap. Ada yang sudah bergelar novelis dan ada juga yang bergelar penulis biografi.

Walau bagaimanapun, mereka baik-baik dan mesra belaka. Kemesraan mereka memudahkan saya untuk berinteraksi dan mengenali mereka. Mengenali mereka juga, saya mendapat tahu betapa rata-rata mereka sudah pun mempunyai laman blog masing-masing. Ketika itu, saya masih juga samar mengenai aplikasi blog. Hanya apabila pembimbing Marsli N.O berbicara serba sedikit tentang blog, barulah saya menyedari kemudahan aplikasi tersebut.

dalam bengkel vokal dengan Abang Rosman


Bengkel yang dibimbing oleh Prof Rahman Shaari dan juga Abang Rosman bagi bengkel vokal memberi keyakinan kepada saya bukan sahaja untuk mendeklmasikan puisi di hadapan khalayak, malah secara halus dengan kata-kata yang jitu memberi kekuatan untuk saya menghargai sedikit ilmu yang saya miliki dengan cara yang lebih bersaluran. Oleh sebab itulah, entri saya yang pertama di Di Jari Aksara Menari adalah berkenaan Bengkel Deklamasi Puisi tersebut.

Seminggu sesudah bengkel tersebut, saya yang biasa berada awal di perpustakaan mencari maklumat berkenaan penulis Azizi Hj Abdullah. Melalui carian itu, saya menemui beberapa blog sasterawan. Membaca tulisan mereka memberi inspirasi kepada saya untuk membina sebuah laman sesawang sendiri. Saya mahu membina sebuah laman sesawang sendiri untuk berkongsi maklumat tentang sedikit ilmu yang saya ada kepada mereka-mereka yang berminat untuk sama-sama belajar. Dalam masa yang sama, saya mahu menjadikan laman ini sebagai medan untuk saya mengasah kemahiran menulis saya.

Ya, sebelum menubuhkan laman ini. Aktiviti menulis saya lebih terhad kepada penulisan tugasan. Namun, kelahiran Di Jari Aksara Menari memberi ruang kepada saya untuk menulis sesuatu yang berbentuk ilmiah dan ada ketikanya berbentuk catatan harian. Dalam masa yang terus berjalan, saya semakin aktif menulis di laman ini. Ada rakan maya yang menghubungi saya, memaklumkan betapa mereka gembira mengambil manfaat yang ada. Namun demikian, ada jua 'cecacing' yang cuba memburukkan laman ini dengan pelbagai tuduhan tidak berasas. Mengintai aktiviti saya untuk dijadikan bahan kutukan di laman 'cecacing' pula. Walau bagaimanapun, saya tetap bertahan. Tidak mampu saya menghalang kehadiran 'cecacing' seperti itu yang saya sendiri yakin tidak akan menjatuhkan saya.

Istimewa bagi saya, Di Jari Aksara Menari melebarkan capaian kenalan saya. Melalui interaksi maya ini, saya dapat berhubung dengan tokoh sasterawan, guru, rakan yang terpisah dan penulis-penulis mapan yang sudi menunjuk ajar saya yang masih baru bertunas ini. Segala komentar bagi sesetengah entri yang saya tulis membuka ruang perkongsian maklumat dan pengalaman kepada saya. Melalui laman ini juga, ada rakan baru yang meluahkan rasa cinta mereka kepada bahasa ibunda sejak melayari laman ini. Pada satu masa, saya dihubungi melalui talian maya oleh seseorang yang menjadikan laman saya ini sebagai laman wajib untuk anaknya mempelajari struktur penulisan bahasa Melayu. Melalui laman maya ini juga, saya dapat berhubung dengan kenalan baru yang tidak pernah saya kenali.

Saya menjadikan laras tulisan bahasa Melayu baku sebagai medium penyampaian. Bagi saya, hal ini merupakan tanggungjawab yang wajar saya pikul sebagai seorang bangsa Melayu yang sangat cinta akan kedaulatan bahasa ibundanya. Ada kenalan rapat yang memberitahu medium tulisan yang saya pilih ini membuatkan sesetengah 'cecacing' mendakwa saya sebagai 'skima' dan cuba 'berlagak'. Saya tidak hiraukan pandangan sebegitu kerana saya juga gembira melihat lebih ramai kenalan maya yang mencintai bahasa turut sama mewarnai laman sesawang sendiri dengan medium pilihan ini. Saya tidak mungkin menurut dakwaan 'cecacing' yang tidak cinta dan memandang rendah akan ketinggian bahasanya.

Intihanya, Di Jari Aksara Menari merupakan satu medium untuk berlatih menulis dengan lebih baik. Menjadi rakan baik saya untuk merakam segala perasaan dan pengalaman. Juga menjadi lapangan untuk saya berkongsi ilmu dan maklumat yang ada. Pada tanggal ini, Di Jari Aksara Menari genap setahun usia. Masih mentah dan masih baru belajar untuk bertatih mendepani arus dunia modenisasi tanpa mahu meninggalkan segala yang patut dipegang sebagai sempadan dalam ruang sebuah kehidupan dunia yang berbalasan.
Kepada mereka yang menghargai Di Jari Aksara Menari, terima kasih saya ucapkan dan lawatan anda sangat sentiasa saya hargai.

Selasa, 16 Februari 2010

1511H (KOMBAT)

PERJUANGAN Komander Mohammad Ameen dan para ahli Gerakan Pemuda Islam berusaha menyelamatkan Madinah al-Munawwarah dan Makkah al-Mukarammah yang mahu dihancurkan oleh Abrahah Moden (Presiden Nosirname). Berlatarkan tahun 2087, novel ini mengetengahkan kebangkitan pemuda Islam yang penuh kekuatan mental, rohani dan jasmani untuk mempertahankan Islam dari terus diancam kebobrokan musuh yang nyata.

Bagi penggemar filem-filem berkonsepkan perang, karya ini sudah tentu menarik minat. Apatah lagi apabila pengarangnya mengangkat citra peperangan dalam Islam yang tentunya berbeza dengan imej perang konvensional, yang biasa kelihatan. Membunuh tanpa sebab dan berperang tanpa tujuan yang mantap.


Lebih daripada itu, ada harapan yang minta disuburkan. Ada impian yang mahu direalisasikan dan ada cita-cita yang perlu dilunaskan. 1511H (KOMBAT) menyuntik semangat remaja Islam untuk bangkit mengimarahkan bumi dengan hukum dan peraturan Allah. Menjana remaja Islam yang kukuh rohani dan jasmani untuk tampil sebagai pejuang yang mencintai kesyahidan.

YANG DAHULU? YANG BAHARU?

SUDAH lama persoalan ini berlegar di benak saya. Tidak mampu saya luahkan dalam bicara. Gagal juga saya luahkan dengan madah indah lagi tersusun. Bagi saya, persoalan ini tidak sebegitu indahnya. Penuh selirat dan sukar dilihat. Ya, mungkin mudah bagi sesetengah pihak. Namun bagi saya yang metah kurang pengalaman, agak sukar untuk saya bertemu jawapan tuntas.

Saya kehilangan 'diri' seseorang yang sangat saya kasihi. Masa telah merampas dia daripada dirinya yang sebenar. Daripada dirinya yang saya kenal sejak awal kehidupan. Pada awalnya, saya kurang percaya betapa masa yang pada fikiran saya tidaklah terlalu lama itu bisa membunuh dirinya yang lalu. Sepantas itukah masa? Adakah dia yang kurang daya lantas membiarkan masa membunuh segala? Mungkinkah juga dia yang terlalu lelah, mahu meninggalkan masa lalu - dengan membunuh diri dahulu?

Saya semakin kebingungan. Hati saya yang masih bertunas ini tegas mengatakan betapa dia bukan lagi dirinya yang dahulu. Yang saya kenal dan saya tetap cinta sepanjang masa. Saya faham amat setiap perubahan pada dirinya. Saya kenal amat suaranya yang dahulu. Saya kenal sungguh setiap bentuk pandang dari matanya yang redup. Dan kini, saya nian pasti dia bukan lagi yang dahulu.

Ya, itulah dia sekarang. Setelah masa membuang dia yang lalu jauh ke jurang silam. Apakah tidak punya ruang untuk diri lalunya kembali memasuki kantung jiwa yang kini? Setelah sekian lama diri itu memimpin jalan, tidakkah ada laluan untuk dia bertapak semula, gagah seperti dahulu?

Itulah dia sekarang. Yang tidak lagi seperti dahulu. Bukan lagi dia yang saya kenal sejak dahulu. Saya sudah kehilangan dia. Saya berhadapan dengan dia yang saban hari semakin menekur diri. Kalah dalam dirinya sendiri.

Hati saya memberontak. Saya mahukan dia yang dahulu. Merindui dia yang saya kenal sejak dahulu. Namun segalanya tinggal sejarah, dia tidak lagi menunjukkan harapan untuk menjadi dia yang saya kenal dahulu, waima itulah harapan tertinggi yang saya pasakkan di lubuk hati. Sekian lama, sejak dia yang dahulu meninggalkan dia yang kini.

Saya merenung ke dalam diri. Menyoal diri sendiri. Seandainya dia yang dahulu tidak mungkin kembali lagi, apakah saya sahaja yang selayaknya mengalah dan menerima dia yang kini seadanya? Apakah tidak salah untuk dia menidakkan kehadiran saya atau membiarkan saja keterpaksaan saya untuk menerima dirinya yang baru itu?

Sayalah yang hanya perlu terus bersabar menerima dia yang baru itu? Sayalah sahaja yang harus memendam rindu kepada dia yang dahulu itu? Mengapa saya sahaja yang perlu begitu? Yang perlu berusaha memahami diri barunya sedangkan saya juga memerlukan secangkir pengertian daripada dia? Ke mana mahu saya buangkan kenangan indah bersama dia yang dahulu agar tidak membungkam atma saya setiap kali berhadapan dengan dia yang baru? Dengan kenangan baru yang tentunya tidak seindah kenangan bersama dia yang dahulu? Atau, kenangan yang baru ini tanpa saya sedarnya sebenarnya lebih indah dari yang dahulu?

Saya rindukan dia yang dahulu? Saya mahukan dia yang dahulu? atau? Saya perlu terima dia seadanya? Saya perlu belajar ceria dengannya? Saya perlu matang menerima segalanya?

Persoalan? Persoalan? Semuanya tersoal namun tiada yang dapat saya jawab tuntas. Saya masih berterbangan mencari jawapan pasti untuk saya sendiri. Dia tetap seperti dia yang kini. Tidak mungkin memikirkan saya yang kini dan dahulu yang ditinggal pergi. Saya sahaja yang punya persoalan dan mencari jawapan. Tidak dia yang bertemu bahagia dengan diri yang kini.

Saya, hilangkan rindu. Lakari madah jiwa dan kenangan indah di butiran pasir pantai duka. Biarkan ombak menghakis segala agar terlerai kusut jiwa.

Salam saya untuk dia ... yang dahulu ... yang baharu.

Senin, 15 Februari 2010

MUZIKAL CATS CERITA KUCING LUAR BIASA

TIGA minggu yang lalu, saya dan rakan kuliah telah menonton muzikal Cats. Memang menarik booknya walaupun agar sukar difahami pada awal. Bagi saya, selain book atau cerita yang menarik - Cats juga berjaya menarik perhatian penonton dengan latar set yang menarik dan mengagumkan. Unsur kekaguman yang ada di dalamnya berjaya menambat hati penonton dan mendatangkan rasa takjub. Melihat unsur kekaguman yang ada, fikiran saya agak serabut juga untuk memikirkan unsur kekaguman yang ingin saya terapkan dalam muzikal saya. Premis ceritanya sudah ada, dan kini saya masih berusaha mengasah naratifnya di samping memikirkan beberapa unsur kekaguman yang boleh menarik perhatian. Berikutnya merupakan sedikit perkongsian yang saya catatkan mengenai Muzikal Cats.

Cats merupakan sebuah naskhah pentas genre muzikal yang diinspirasikan daripada puisi yang wujud dalam kumpulan puisi T.S Elliot berjudul Old Possum’s Book of Practical Cats (1939). Cats diterbitkan pertama kali oleh Cameron Macintosh dan diarahkan oleh Trevor Nunn. Gillian Lynne pula merupakan koreografer yang bertanggungjawab dalam gerak tari para pendukung watak Cats. Muzikal Cats berkisar pada kehidupan masyarakat kucing yang menggelar diri mereka sebagai Jellicle Cats. Lagu Jellicle Songs for Jellicle Cats merupakan overture yang memperkenalkan kelompok Jellicle Cats sebagai golongan kucing yang mempunyai keupayaan tinggi dalam melakukan banyak perkara, berwajah ceria dan suka melompat.

Berlatarkan tempat pembuangan sampah sebagai satu-satunya set pementasan, Cats mencitrakan kehidupan setiap kucing yang ada di situ dengan variasi cerita. Dalam karya ini, terdapat lapan buah kisah yang melibatkan watak-watak kucing tertentu. Hal ini dimulakan dengan kisah The Old Gumbie Cat bernama Jennyanydots. Seekor kucing betina yang gemuk dan disenangi oleh tikus dan lipas yang ada. Sementelahan itu, Rum Rum Tugger merupakan seekor kucing jantan yang suka didampingi kucing-kucing betina. Rum Rum Tugger juga merupakan kucing yang suka bertindak sesuka hati seperti yang digambarkan menerusi bait-bait “for he will do as he do do and there's no doing anything about it".

Antara kisah kucing dalam karya ini, Grizabella merupakan watak utama naratif ini. Grizabella merupakan seekor kucing tua yang dipulau oleh masyarakat kucing lantaran tindakannya keluar dari masyarakat kucingnya sewaktu muda. Tindakan Grizabella itu didorong keinginannya untuk melihat dunia luar. Kisah Grizabella terakam dalam lagu The Glamour Cat. Walau bagaiamanapun, atas nasihat dan kuasa Old Deuteronomy (seorang peramal) yang sangat dihormati, Grizabella diberi peluang kedua untuk ‘membersihkan diri’ dengan ‘kelahiran semula’. ‘Kelahiran semula’ Grizabella diraikan dalam lagu Journey to the Heaviside Layer.

Akhirnya, masyarakat kucing menerima kepulangan dan keinsafan Grizabella. Mereka juga menyedari bahawa mereka tidak sewajarnya menghina kucing lain dengan gelaran yang tidak baik. Old Deuteronomy memberi pesanan kepada masyarakat kucing agar menjaga maruah mereka sebagai kucing dan membezakan diri mereka dengan masyarakat anjing. Perihal ini diperincikan oleh Old Deuteronomy dalam lagu The Ad-Dressing Of Cats yang menjadi penutup kisah sebelum lagu Memory dinyanyikan..

Muzikal Cats menjadikan lagu Memory yang ditulis Trevor Nunn sebagai lagu tema. Terdapat 27 buah lagu yang menjadi naratif muzikal ini. Ada antaranya dipetik dan diinspirasi daripada kumpulan puisi T. S Elliot.

Pemikiran

Naskhah muzikal Cats mengangkat tema kemasyarakatan yang disimbolkan melalui kehidupan kucing. Dalam hal ini, Cats cuba menyampaikan gagasan pemikiran bahawa masyarakat sewajarnya hidup sebagai satu entiti yang saling memahami dan bertolak ansur sesama masyarakat. Tema ini disampaikan oleh watak Old Deuteronomy yang menjadi pengamal kebenaran. Old Deuteronomy menegah masyarakat kucing memberi nama gelar yang tidak baik antara satu sama lain seperti yang dikisahkan dalam lagu The Naming of Cats. Sebaliknya Old Deuteronomy meminta masyarakat kucing bertindak sebagai seekor kucing dan bukannya anjing. Hal ini ditampilkan dalam lagu The Ad-Dressing of Cats. Muzikal ini meminta khalayak untuk sentiasa bersangka baik bahawa setiap makhluk itu seharusnya diberi peluang kedua untuk membaiki diri seperti yang berlaku terhadap Grizabella.

Persoalan

Industri lakon yang tidak menitikberatkan kualiti lakonan merupakan antara persoalan yang dilontarkan lewat karya ini. Hal ini dapat dilihat melalui watak Asparagus atau Gus yang mengimbas kembali kualiti industri lakon yang diceburinya sewaktu muda dahulu. Menurut Gus, penggiat seni lakon dalam latar masa teater tersebut tidak dilatih terlebih dahulu seperti kelompok zaman kegemilangan Asparagus yang mementingkan latihan dan kualiti dalam menjayakan satu-satu persembahan.

Sementelahan itu, muzikal ini turut menimbulkan persoalan rasa keinsafan yang sewajarnya wujud dalam diri manusia. Dalam hal ini, persoalan ini dapat dilihat dalam watak Grizabella yang menyedari kesalahan yang pernah dilakukan dan berusaha untuk mendapatkan semula tempat dalam komuniti kucingnya. Namun begitu, persoalan ini juga dapat dilihat dalam erti yang sebaliknya. Perkara ini dilambangkan melalui watak antagonis Macavity.

Macavity merupakan seekor kucing yang jahat dan penuh licik dalam melakukan jenayah. Watak ini tidak mempunyai rasa bersalah dan insaf dengan segala jenayah yang dilakukan. Hal ini dilihat melalui gambaran watak jahat tanpa insafnya dalam bait-bait:

... the monster of criminal
He’s broken every human law
he always has an alibi
the napolean of crime.

Unsur Kekaguman

Muzikal Cats merupakan sebuah muzikal yang sarat dengan unsur kekaguman. Antaranya muncul dalam babak dua, adegan yang memperlihatkan kemunculan Mr. Mistoffelees. Watak ini diperihalkan oleh masyarakat kucing sebagai ahli silap mata yang sangat terkenal dan mampu menyelesaikan banyak masalah. Dalam hal ini, Rum Rum Tugger telah meminta bantuan Mr. Mistoffelees untuk mencari Old Deuteronomy yang telah diculik oleh Macavity. Unsur kekaguman dalam hal ini terlihat melalui pergerakan dan silap mata yang dilakukan oleh Mr. Mistoffelees yang mengeluarkan cahaya dan api dari jari-jemarinya. Cahaya dan api itu telah memenuhi pentas. Pertukaran seekor kucing siam betina dengan Old Deuteronomy turut menjadi unsur tarikan yang berjaya dilakukan oleh Mr. Mistoffelees.

Selain itu, unsur kekaguman dari aspek pencahayaan dapat dilihat dalam adegan Macavity (babak dua) yang bertarung dengan Munkustrup dan Alonzo. Pada adegan ini, Macavity telah menyamar sebagai Old Deuteronomy. Cahaya warna merah telah melatari keseluruhan pentas dengan gabungan muzik yang memperlihatkan pertarungan antara Macavity dengan Munkustrup dan Alonzo. Aspek pencahayaan merah yang digunakan selari dengan situasi dan muzik yang menjadi latar. Hal ini menarik perhatian penonton.

Sehubungan dengan itu, unsur kekaguman utama dapat dilihat melalui adegan Old Deuteronomy yang mengiringi Grizabella dalam lagu Journey to the Heaviside Layer. Dalam adegan ini, tayar yang menjadi tempat Grizabella dan Old Deuteronomy berdiri telah terangkat dan kelihatan terapung. Dalam masa yang sama, kemunculan satu objek seperti tangga yang disifatkan berasal dari kayangan bagi menyambut ‘kelahiran semula’ Grizabella telah muncul. Keunikan ‘tangga’ tersebut dengan cahaya yang menyuluh kepadanya menjadikan adegan tersebut sebagai satu unsur kekaguman dalam karya ini.

Kedua-dua aspek tersebut telah menjadi daya tarikan penonton dalam meneliti naskhah ini sehingga tamat. Aspek pencahayaan yang mengiringi situas tersebut menjadikan adegan tersebut nampak lebih menarik dan mantap. Dalam adegan lagu Skinbleshakes The Railway Cat, pergerakan para watak mewujudkan sebuah kereta api di atas pentas dengan empat roda juga merupakan unsur kekaguman yang menarik perhatian.

Kamis, 11 Februari 2010

CUTI DAN TUGAS

MEMASUKI cuti pertengahan semester yang bermula Sabtu sehingga Ahad depan memerlukan saya untuk berkerja keras menyiapkan beberapa tugasan yang perlu diserahkan apabila cuti berakhir nanti. Alhamdulillah, tugasan penterjemahan telah siap saya lakukan. Akan dihantar dan disemak oleh pensyarah. Secara total, saya melakukan terjemahan itu dalam masa enam hari. Saya gembira kerana tugasan itu memerlukan saya merujuk kamus. Berbanding dengan rakan lain yang sudah memiliki kamus elektronik, saya tetap gembira dengan merujuk kamus 'tradisional' kerana menyelak halaman demi halaman akan menemukan saya dengan kosa kata baharu. Terjemahan saya tidaklah yang terbaik dan berharap agar pembaikan daripada pensyarah akan membantu saya untuk membaikinya.

II

Cuti ini saya perlu menyiapkan bab tiga latihan ilmiah. Iaitu bab melihat penindasan dan kezaliman terhadap golongan subaltern dalam novel Patriarch dan Menteri sebelum Perdana dalam bab empat. Alhamdulillah, bab satu sudah siap dan bab dua hampir siap seluruhnya. Ah, melakukan tugasan ini memang satu cabaran apalagi apabila masa yang diberikan agak singkat berbanding kursus sama di universiti lain. Kemudian, cuti ini memerlukan saya berfikir lanjut tentang idea untuk Skrip Muzikal untuk dibentangkan naik cuti nanti. Ideanya sudah ada dan masih dalam proses pengembangan. Masalah saya untuk tugasan ini adalah apabila memikirkan unsur-unsur kekagumannya. Kadangkala hal ini menyekat fikiran saya namun saya mencuba juga. Alhamdulillah sudah ada beberapa unsur kekaguman yang dapat saya fikir dan sempat saya catatkan. Harapnya dapat membantu.

III

Sirat Sufiah, apalagi. Akan terus ditulis dan ditulis sehingga siap. Perlu siapkan empat bab cuti ini.

IV

Memang satu perkara yang mengejutkan apabila kami diberitahu bahawa perlu bersedia untuk PeTA awal pada akhir Mac nanti. Saya memang sangat berminat dengan drama non-realisme yang diajar pada semester tiga lalu. Sejak mengenali drama itu, saya tekad untuk menghasilkan drama genre itu untuk PeTA. Alhamdulillah, saya sudah punya idea untuk itu. Tinggal lagi untuk dikembangkan dan dikenal pasti ceritanya secara tuntas.

Banyak sekali tugasan yang perlu dilakukan dalam masa yang agak terhad. Walau bagaimanapun, saya anggap ini sebagai cabaran. Saya tidak pernah menangis kerananya. Saya tidak akan menangis atau mengeluh kerana tugasan yang berlambakkan melainkan gagal dalam pelajaran. Untuk itu, saya mencuba sedaya upaya. Cuti ini juga, saya mahu memperuntukkan masa untuk emak yang semakin merosot kesihatannya. Semoga segalanya berjalan lancar.

Selasa, 09 Februari 2010

MENINJAU TULISAN

ADA ORANG boleh menulis dengan kemas walaupun di atas kertas tanpa garis. Seorang sahabat baik saya, Nur Syafiqa yang kini di APM, UM antaranya. Syafiqa boleh melakukannya. Pernah dia mengutus surat berhelai-helai banyaknya kepada saya sewaktu kami berada di tingkatan tiga. Kami menuntut di sekolah dan kelas yang sama, cuma ketika itu kami sedang berada dalam perang dingin. Jadi, surat menjadi medium pengantara. Ketika menyelongkar sebuah kotak untuk mencari satu draf tugasan semester tiga yang lalu, saya menemui pula sebuah kertas jawapan peperiksaan sewaktu dalam darjah enam pada tahun 1999.





Tulisan saya sewaktu dalam darjah enam, 1999.



Sebenarnya, saya memang gemar menyimpan khazanah lama sebegini. Dahulu, saya menyimpan segala khazanah alam persekolahan sejak dari darjah satu hingga tingkatan empat. Kotak itu hampir separuh dari ketinggian saya. Di dalamnya saya menyimpan uniform pengawas sewaktu di sekolah rendah. Buku-buku tulis, kertas peperiksaan, buku-buku teks dan pelbagai lagi. Malangnya, proses perpindahan menyebabkan saya terpaksa menurut kata emak agar meninggalkan kotak itu. Walau bagaimanapun, saya menemui sehelai kertas jawapan ini. Saya merenung isi tulisannya. Inilah tulisan saya sewaktu berada di alam sekolah rendah hinggalah menengah.






Tulisan saya sangat kecil. Hal ini menyebabkan saya sering dimarahi guru terutamanya guru bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang perlu menyemak bahagian bertulis dengan lebih banyak berbanding guru subjek lain. Sewaktu di darjah enam, pernah guru yang sangat banyak membantu saya dalam subjek Matematik melemparkan buku bahasa Melayu saya. Beliau ialah Cikgu Nor Azmi Mohd Rejab. Selain mengajarkan saya Matematik, beliau turut mengajar subjek bahasa Melayu. Buku saya dilemparkan sedangkan saya diberi markah yang tinggi. Beliau geram dengan tulisan saya yang terlalu kecil dan menyukarkan pembacaan beliau. Akan tetapi, beliau tetap berusaha.



Catatan yang saya tulis sewaktu berada di dalam bas tentang suasana Perhimpunan Mansuhkan ISA Ogos lalu. Suasana yang dilalui tanpa dirancang setelah pulang dari ASWARA pada Seminar Pendidikan Kebangsaan dan bertindak sebagai pelapor.




Tulisan kecil bukan sengaja saya lakukan. Walau bagaimanapun, saiz tulisan saya beransur membesar apabila saya memasuki tingkatan enam. Ketika itu tidaklah terlalu besar seperti sekarang tapi saya fikir sudah mudah untuk dibaca para guru. Kemudian, apabila menyambung pengajian peringkat ijazah. Tulisan saya semakin membesar. Namun, bentuknya yang tidak lurus dan akan membukit apabila ditulis di atas kertas tanpa jalur masih sama. Begitu juga jika saya disuruh menulis pada papan putih.




Tulisan saya sekarang.



Tulisan saya nampak tidak kemas. Pada pandangan saya. Ada ketika, saya sendiri tidak faham apa-apa yang saya tulis dan memerlukan saya untuk merenungnya dengan agak lama.

MANIKAM KALBU

TAJDIDKAN semula busana Melayu merupakan gagasan yang cuba diangkat pengarang melalui watak Ziryab pada zaman kini dan Manikam Kalbu pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Syah. Novel ini mencitrakan kepentingan jurubusana dalam melahirkan busana Melayu yang terkurung dengan adat tinggin falsafah yang mendasari hukum agama sebagai akarnya. Karya ini mengetengahkan nilai sebenar busana Melayu yang seharusnya menepati hukum berbusana seperti yang ditentukan Islam. Watak Ziyab dan Manikam Kalbu merupakan jurubusana lelaki yang berasa penuh tanggungjawab dalam memelihara kesantunan berbusana oleh masyarakat Melayu yang sinonim dengan agama Islamnya.



Ketabahan Ziryab, remaja lelaki yang terpaksa berhadapan dengan masalah alzheimer neneknya, Zainon Abdullah telah diburu oleh desakan cinta monyet dan rasa hasad rakan sekelas yang mencemburui daya perhatian yang diberikan kebanyakan guru kepadanya. Sebagai anak tunggal yang kematian ibu bapa, Ziryab beruntung kerana mendapat pembelaan dan kasih sayang daripada sepasang suami isteri iaitu Dr. Faizah dan Dr. Basri yang menjadikan Ziryab sebagai anak angkat mereka.

Cabaran Ziryab dan Manikam Kalbu hampir serupa. Manikam Kalbu kehilangan ibu sewaktu dia merantau ke negara Acheh untuk mendalami ilmu menjahit busana. Dalam masa yang sama, kedua-dua watak ini diperlihatkan kehebatannya pada kekuatan dan ketabahan hati mereka terhadap segala dugaan yang mendatang dan tekal dalam memenuhi kantung jiwa dengan ilmu. Juga, mereka sama-sama berusaha untuk mewarnai dunia busana Melayu dengan melahirkan rekaan yang mampu menjadi simbol keMelayuan dan keIslaman yang sinonim dengan bangsa Melayu sejak zaman berzaman.

Bagi saya, tentunya kehadiran manira (kucing berbaka madura dengan hujung ekor yang membengkok) dan Manikam Kalbu yang menjadi teman nenek Ziryab sebagai daya penarik. Kelicikan manira banyak membantu Manikam Kalbu sewaktu berhadapan dengan serangan teka-teki Maharaja China dan persoalan demi persoalan berkenaan busana rekaannya dalam sesi peragaan pertandingan mereka busana yang dianjurkan Sultan Muhammad Syah.

Faisal Tehrani terkenal dengan unsur ilmu yang sering diterapkan lewat karya beliau mampu menjadikan pembaca Manikam Kalbu menambah pengetahuan yang luas mengenai ilmu rekaan seni jahitan. Saya pasti, novel ini sekiranya diamati oleh para pelajar aliran Ekonomi Rumah Tangga (ERT) dan Seni Reka Jahitan (SRT) mampu memberi banyak manfaat kepada mereka. Tidak ketinggalan juga bagi mereka yang meminati bidang jahitan secara umum.

Membaca karya ini menyedarkan saya betapa tingginya nilai baju kurung dalam falsafah Melayu dan Islam yang bagai aur dengan tebing. Mambaca karya ini terus membuatkan saya nian bangga dengan busana Melayu yang saya pakai walau diancam arus modenisasi tanpa sempadan.

Minggu, 07 Februari 2010

MEMANFAATKAN MEDIA ALTERNATIF BAGI PENULIS MUDA

Tersiar dalam Tunas Cipta, Februari 2010

A THOUSAND SPLENDID SUNS

SUDAH terlalu lama saya tidak mengalirkan air mata semata-mata kerana membaca sebuah novel. Ya, sudah terlalu lama. Novel yang benar-benar menarik ruang emosi dan masih saya ingat sehingga kini ialah Biarkan Aku Menangis, karya Norhayati Berahim. Itu pun ketika saya berada di tingkatan empat pada tahun 2003. Novel itu masih saya simpan dengan baik di satu sudut yang sudah lama tidak saya jenguk. Sudah lama benar. Seterusnya, saya menjadi terharu dengan kesengsaraan yang dialami Pak Hasan dalam Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman. Kesengsaraannya dalam memikirkan nasib tradisi tanpa pewaris. Kemudian, Mashitah dalam Sesudah Perang meruntun hati saya apabila memikirkan penderitaan yang dialami lantaran menyembunyikan kisah sebenar daripada suami. Itu pun dua tahun yang lalu. Ketika saya baru menjejaki ASWARA.

Namun demikian, buat kali seterusnya setelah tahun-tahun yang sudah lama itu - saya kembali menitiskan air mata tatkala membaca naskhah A Thousand Splendid Suns, tulisan Khaled Hosseini. Karya ini lebih memberi kesan kepada saya berbanding novel The Kite Runner yang baru saya baca sebulan yang lalu. The Kite Runner punya kekuatannya yang tersendiri namun tidak menjadikan saya begitu terharu dan terkesan dengan Mariam serta Laila dalam A Thousand Splendid Suns. Berlatarkan negara Afghanistan, karya ini mengisahkan kehidupan Mariam - seorang anak tidak sah yang membesar di kawasan pedalaman. Mariam dibesarkan oleh Nana di sebuah kolba yang dibina oleh bapanya. Jalil Khan. Jalil Khan tidak pernah membawa Mariam keluar dari kawasan tersebut kerana tidak mahu kedudukannya sebagai seorang yang dihormati dan kaya terganggu sekiranya masyarakat mengetahui kedudukan Mariam di sisinya.


Nana sering mengingatkan Mariam agar tidak mempercayai kata-kata Jalil yang tidak ikhlas menyayanginya. Kisah-kisah indah tentang kelahiran Mariam dan kehidupan yang diceritakan Jalil hanya palsu belaka. Walau bagaimanapun, Mariam lebih senang untuk mempercayai kata-kata Jalil yang melawatnya setiap Khamis dengan hadiah. Mariam menganggap Nana mencemburui layanan Jalil kepadanya. Ketika usia Mariam empat belas tahun, dia tekad untuk meminta Jalil membawanya ke rumah besar dan berkenalan dengan ahli keluarga Jalil iaitu dengan tiga isteri dan sembilan anaknya yang lain. Harapan Mariam untuk diperlakukan sebagai seorang anak yang diiktiraf semakin membara. Mariam mahu Jalil memberikan perhatian dan kasih sayang seperti yang diberikan kepada anak-anak yang lain. Mariam mahu Jalil membawanya ke bandar. Mariam mahu Jalil membawanya menonton sinema di premis kepunyaan Jalil. Mariam mahu menonton filem Pinnochio yang diceritakan oleh Jalil. Mariam mahu menghirup nikmat mempunyai seorang bapa dan menjalani hidup seperti keluarga lain. Sebagai anak luar nikah yang disebut sebagai harami, segala keinginan Mariam itu dinafikan. Mariam dianggap sebagai subjek yang hanya membawa malu kepada Jalil Khan.

Atas desakan Mariam, Jalil berjanji akan mengunjungi Mariam pada Khamis seterusnya. Akan membawa Mariam ke bandar untuk menonton dan bersiar-siar. Pada hari tersebut, Mariam telah menunggu Jalil sehingga tengah hari namun Jalil tidak kelihatan. Mariam ke Herat untuk mencari rumah Jalil dan apabila tiba, Mariam dimaklumkan bahawa Jalil tiada. Seharian tidur di luar rumah, pemandu Jalil telah menghantar Mariam pulang ke kolbanya. Saat itu, Mariam dikejutkan dengan kematian Nana yang menggantung diri di sebatang pohon. Nana menunaikan janjinya untuk membunuh diri sekiranya Mariam meninggalkan dirinya dan berjanji bahawa Mariam akan hidup sendirian sesudah itu :

I'm all you have in this world, Mariam, and when I'm gone, you will have nothing. You'll have nothing. You are nothing! (Khaled Hosseini, 2008:40).

Pada hayat Nana, Mariam tidak pernah mempercayai kata-kata Nana malah memperlekehkannya. Hanya apabila berada di rumah Jalil barulah Mariam sedar. Dia telah dipaksa mengahwini Rasheed. Seorang lelaki berusia 45 tahun sedangkan dirinya baru berusia 15 tahun. Dia dipaksa oleh Asfoon, Khadija dan Nargis. Jalil Khan sendiri tidak membantah malah mahu Mariam segera mengahwini lelaki itu dan keluar dari rumahnya. Tiada lagi kemesraan antara dia dan Jalil. Tiada lagi kasih sayang yang sering dipamerkan Jalil kepada dia. Mariam semakin faham.

Perkahwinan dengan Rasheed merupakan kesinambungan kesengsaraan yang terpaksa dihadapi oleh Mariam. Dalam novel ini, Mariam menjadi citra golongan wanita Afghanistan yang tertindas hidupnya oleh lelaki. Mereka hanya dijadikan sebagai pemuas nafsu dan hamba semata-mata. Pemerintah yang silih berganti tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada wanita. Mariam tidak punya tempat untuk mengadu dan tidak dibenarkan bergaul dengan jiran-jirannya. Rasheed tidak mahu Mariam keluar tanpanya dan mewajibkan pemakaian burqa atas Mariam. Sebagai seorang isteri, Mariam menjalankan kewajipannya terhadap rumah tangga. Namun, Rasheed mulai berubah sikap apabila Mariam mengalami keguguran. Semenjak itu, Mariam bukan sahaja dijadikan persis seorang abdi, tetapi juga dijadikan bahan untuk dipukul sesuka hati. Pada usia Mariam 35 tahun, Rasheed telah mengahwini Laila. Anak gadis berusia 15 tahun yang bercita-cita tinggi dan agak berpelajaran. Ibu bapanya meninggal dunia sebaik-baik mereka berhajat untuk meninggalkan Kabul dan keadaan huru-hara ketika itu.

Rasheed yang menyelamatkan Laila mahukan Laila sebagai isteri dan Mariam tidak punya hak untuk berkata apa-apa. Kehidupan Laila tidak kurang seperti Mariam. Cuma, Laila lebih bijak bersuara walaupun pada akhirnya dia tetap menjadi mangsa pukul Rasheed. Layanan baik Rasheed terhadap Laila hanya sewaktu awal perkahwinan mereka. Ketika Laila diangkat sebagai permaisuri manakala Mariam sebagai patung di rumah :

"But you musn't blame her. She is quiet. A blessing, really because, wallah, if a person hasn't got much to say she might as well be stingy with words. We are city people, and I, but she is dehati. A village girl. Not even a village girl. No. She grew up in a kolba made of mud outside the village. Her father put her there. Have you told her that you are a harami? Well, she is. But she is not without qualities, all things considered. You will see for yourself, Laila Jan. She is study, for one thing, a good worker and without pretensions. I'll say this way. If she were a car, she would be a volga.

"You," Rasheedd said to the girl, "you, on the other hand would be a Benz. A brand new, first class, shiny Benz ..." (Khaled Hosseini, 2008:216).

Rasheed begitu gembira apabila mendapat tahu Laila mengandung dan terus menjadikan Mariam sebagai hamba kepada mereka. Namun demikian, Laila cuba sedaya upaya berbaik dengan Mariam yang agak sukar menerima kehadiran dia. Pada satu tahap selepas tidak tahan dengan kekejaman yang dilakukan Rasheed pasca kelahiran Aziza, Mariam dan Laila tekad meninggalkan Rasheed. Malangnya, pihak berkuasa telah menahan mereka. Menganggap perbuatan mereka sebagai jenayah.

Terlalu banyak penderitaan yang dialami oleh Mariam sebelum dia dihukum gantung kerana membunuh Rasheed yang memukul dia dan Laila. Terlalu banyak penderitaan yang dialami Laila dalam menjejaki Aziza yang ditinggalkan di rumah anak-anak yatim atas arahan Rasheed. Terlalu besar luka yang dialami dua wanita ini. Bezanya, luka di hati Mariam tidak pernah sembuh dan dibawa sehingga akhir hayat tanpa pembelaan.

Mariam tidak pernah mengecapi nikmat kasih sayang yang diimpikan sama ada daripada bapa dan suami. Namun, dengan keberanian dan kebijaksanaan, Laila berjaya mengecapi kebahagiaan dengan Tariq. Selepas kematian Mariam yang mengorbankan diri demi dia dan Tariq, Laila memulakan hidup baru sebagai guru untuk mendidik anak gadis agar menjadi masyarakat berilmu yang sangat diperlukan Afghanistan, seperti yang disebut oleh arwah ayahnya - Hakim. Saya sangat tersentuh dengan kebaikan Mullah Faizullah terhadap Mariam. Guru agama yang sering memberi kekuatan kepada Mariam sewaktu kecil untuk menerima hakikat kematian Nana. Saya terharu dengan kasih sayang Mullah Faizullah terhadap Mariam. Saya membenci Rasheed yang mewakili imej lelaki diktator yang menjadikan wanita sebagai golongan tanpa maruah.

Senin, 01 Februari 2010

DIALOG ORANG BANDAR ORANG KAMPUNG

MASA : 12:00 tengah hari
LOKASI : Bandar

KHATY : Hari-hari jalan sesak! Bosan betul.

LINA : Memang, aku pun kadang-kadang tak tahan rasanya duduk di bandar ni. Kalaulah aku ada kampung, sure tiap-tiap minggu aku bawa diri balik ke kampung.

KHATY : Kalau takat jalan sesak hari biasa okey lagi, Li. Ini hari Sabtu pun sesak. Gila betul orang bandar ni!

LINA : Nak buat macam mana, hari ini ajelah nak keluar shopping. Nak beli itu, ini

KHATY meningkatkan suhu pendingin hawa kereta. Rambutnya yang berwarna perang dibelai-belai dengan jari-jemarinya yang dihiasi pengilat kuku warna merah.

KHATY : Kaunak beli apa di mall?

LINA : Aku nak beli novel Harry Porter yang baharu tu. Kimi dah sibuk sangat. Dah seminggu merengek suruh aku beli.

LINA mengeluarkan bedak kompak. Mengurut-urut keningnya yang terukir cantik.

KHATY : Hai, itu okey lagi. Zizie tu pula sibuk suruh kami beli Baby Alive. Tak beli, merajuk pula. Dahlah dia seorang saja anak aku.

LINA : Wah, Baby Alive. Mahal tu, Khaty.

KHATY : Alah, untuk anak aku juga. Apa yang nak berkira sangat.

---

MASA : 12: 00 tengah hari
LOKASI : Kampung

MAK JAH sedang menyediakan lempeng. SUDIN sibuk menelaah buku bacaan yang sudah hilang kulitnya di anak tangga kayu. Api diselaraskan agar tidak terlalu besar.

MAK JAH : Sudin, pergi ke kedai Pak Malim. Belikan gula setengah kilo.

SUDIN bingkas bangun. Buku tanpa kulit diletakkan di atas almari lusuh.

SUDIN : Setengah kilo? Cukup ke nek?

MAK JAH : Cukuplah, guna jimat-jimat.

Kedengaran bunyi berkeriut penahan basikal raleigh Pak Nuar. Mak Jah dan Sudin segera ke anjung rumah.

PAK NUAR : Assalammualaikum.

MAK JAH dan SUDIN menjawab serentak. MAK JAH mendekati PAK NUAR dan mengambil mangkuk tingkat dari tangan PAK NUAR. SUDIN tersenyum melihat basikal Raleigh. Segera dia mencapai basikal itu dan menunggangnya untuk ke kedai PAK MALIM.

PAK NUAR : Nak ke mana budak tu?

MAK JAH : Kedai Pak Malim. Saya suruh dia beli gula setengah kilo.

PAK NUAR : Hai, jimat-jimatlah Jah oi. Upah baiki rumah pun dah tak banyak. Semua orang sibuk nak berjimat. Kalau tak jimat, tersekatlah kerongkong kita. Alahai, kita juga yang susah.

MAK JAH : Ya, saya tahu tu bang. Cukuplah kita makan berpada-pada. Yang penting duit belanja sekolah si Sudin itu ada. Makan pakai dia cukup.

Sudin tiba di kedai Pak Malim. Dia melihat sebuah komik dan mencapainya. Dibelek-belek komik itu.

PAK MALIM : Ha, Sudin. Kaunak beli ke?

SUDIN : (sengih) Taklah, Pak Malim. Tengok-tengok saja. Nenek suruh beli gula setengah kilo.

---