PERMOHONAN kemasukan ke ASWARA bagi sesi akademi 2010/2011 telah pun dibuka. Borang permohonan boleh dimuat turun daripada laman sesawang rasmi ASWARA iaitu
http://www.aswara.edu.my/. Bagi adik-adik yang sering bertanya tentang kemasukan ke ASWARA, inilah peluang yang kalian nantikan dan saya sangat berharap agar kalian tidak melepaskan peluang ini.
Apabila melawati laman sesawang rasmi ASWARA dan membuka lampiran borang permohonan kemasukan tersebut, ingatan saya mengenang kembali detik saya melalui proses ini pada hampir tiga tahun yang lalu. Bezanya, permohonan kemasukan saya bukan pada bulan April, sebaliknya berlaku pada bulan November 2007. Sewaktu saya masih bekerja di sebuah klinik swasta di Selayang sejak Januari 2007. Saya memuat turun borang permohonan tersebut melalui laman sesawang setelah mendapat maklumat mengenai pembukaan permohonan tersebut melalui akhbar Harian Metro. Saya isi dengan hati-hati. Saya isi dengan penuh tawakal. Saya tidak pasti akan apa-apa yang akan saya tempuhi selepas mengisi borang itu. Akan tetapi saya terus berdoa dan melakukan solat hajat agar borang saya itu akan diproses dengan baik, mendapat maklum balas dan seterusnya melayakkan saya memasuki Fakulti Penulisan yang menjadi pilihan saya.
Tidak lama selepas borang permohonan itu saya hantar dengan menggunakan khidmat pos laju, saya menerima surat susulan akan panggilan untuk menghadiri temu duga. Saya bersyukur dan gembira sekali. Pada surat panggilan tersebut juga tertera keperluan membawa sebarang hasil karya yang pernah tersiar, jadual peperiksaan dan sesi temu duga. Aduh, saya terkesima. Perlu membawa hasil karya yang pernah tersiar? Saya agak kaget kerana bahan tersebut tidak pernah ada. Saya tidak pernah menulis mahupun berkarya. Apatah lagi menghantar karya untuk disiarkan. Namun kata cikgu, pergi sahaja. Cuba, tawakal. Lagi pun, seharusnya akademi itu melatih orang yang kosong seperti saya untuk menambah pengetahuan berkaitan. Tidak seharusnya ada kekangan untuk orang menimba ilmu. Sekiranya ada hasil yang pernah tersiar, itu ialah bahan bonus untuk menyokong permohonan saya. Ya, saya cuba.
Sewaktu bekerja syif malam iaitu antara jam 12:00 hingga 5:00 pagi, saya manfaatkan masa hening tersebut dengan mencari bahan sebagai persediaan untuk menjawab soalan-soalan yang bakal saya depani. Saya tidak tahu apa-apa bentuk soalan yang akan saya hadapi, akan tetapi saya lebih menjurus mencari maklumat mengenai ASWARA yang dahulunya dikenali sebagai ASK. Saya lawati laman sesawang ASWARA. Saya masuk kepada capaian Fakulti Penulisan. Melalui capaian itu saya diperkenalkan dengan objektif dan perkara berkaitan dan aktiviti fakulti. Pada capaian tersebut tertera wajah En. Zakaria Ariffin sebagai Ketua Jabatan. Dalam hati terdetik, macam pernah saya lihat wajah Ketua Jabatan tersebut. Saya memberitahu cikgu dan cikgu menyedarkan saya bahawa itu nama penulis sebuah drama pentas yang menjadi kajian KOMSAS murid tingkatan dua berjudul Penunggu Pusaka. Teks yang juga pernah saya kaji ketika di tingkatan dua pada tahun 2001. Selain itu, saya menemui juga nama En. Ridzuan Harun sebagai penolong. Juga nama tersebut seolah-olah pernah saya kenali dan sekali lagi saya kembali ingat bahawa itu merupakan nama bagi penulis puisi Bicara Buat Guru yang juga menjadi kajian dalam teks komsas PMR saya dahulu.
Selain mencari maklumat mengenai ASWARA, saya juga melakukan persediaan memandangkan ASWARA melalui bacaan saya terkenal dengan aktiviti dan program yang melibatkan kesenian. Saya mencari rencana-rencana terkini mengenai aktiviti kesenian yang ada kaitannya dengan ASWARA secara langsung mahupun tidak langsung. Penemuan-penemuan tersebut saya simpan dan saya baca berulang kali untuk lebih memahaminya. Saya yakin, pencarian saya itu akan membantu saya untuk menjawab soalan dalam sesi temu duga kelak. Sehari sebelum hari temu duga, saya dan rakan baik saya bersama ibunya telah meninjau kawasan ASWARA. Pada malam sehari sebelum temu duga, saya terus dinasihati cikgu agar tenang, tidak gopoh dan memperlihatkan keyakinan yang tinggi sewaktu disoal. Perlihatkan gaya duduk yang formal dan bersesuaian dengan situasi. Kami sama-sama menyemak dua buah fail berisi segala sijil akademik dan kokurikulum saya. Malamnya, saya tetap juga tidak betah melenakan mata. Sehingga kini, saya dihantui perkara yang sama sebelum berhadapan dengan hari-hari penting seperti itu.
Saya ditemani sahabat saya iaitu Nur Syafiqa yang kebetulan sedang bercuti semester satu di APM, UM. Kami tiba awal. Tidak tahu mahu duduk di mana. ET terasa sangat asing bagi saya dan Qa yang diturunkan Mak Cik Nora di situ. Kafeteria Beringin juga belum beroperasi ketika itu. Pada sekitar jam sembilan, saya memasuki Dewan Kuliah Utama bersama-sama calon lain. Hari pertama itu agak mengejutkan saya apabila bagai terkena kejutan budaya melihat rakan-rakan calon. Ketika itu juga saya melihat Kak Roziah Adama dengan baju kurung warna kesukaannya, biru. Dia memegang sebuah fail yang sangat besar dan padat membuatkan saya merenung diri dan fail saya yang tidak sebesar dan sepadat itu. Saya juga melihat Nada Haifaa dalam warna hijau kesukaannya berdiri di sebelah tiang di hadapan DKU.
Di dalam DKU, kami dipecahkan mengikut fakulti yang dimohon. Fakulti Penulisan ditempatkan pada kedudukan paling kiri, diikuti Fakulti Filem dan Video, Fakulti Muzik dan Fakulti Tari. Bagi sesi pertama, kami diminta menjawab soalan umum pada edaran yang diberikan. Soalan meliputi aspek penulisan, muzik, filem dan tari. Ah, sekali lagi saya terkejut apabila berhadapan dengan soalan-soalan mengenai nota-nota muzik dan aspek-aspek perfileman. Pada bahagian akhir sesi ini, kami diminta menulis sebuah esei pendek mengenai keseniaan masa kini. Walaupun agak sukar, saya jawab juga mengikut pemahaman saya terhadap dunia seni dengan sedikit ingatan saya terhadap hasil pencarian saya.
Selepas sesi itu, saya dan rakan-rakan calon perlu pula menjawab soalan khusus berkenaan kursus yang dimohon. Ketika itu, En. Zakaria Ariffin ada di DKU memberi taklimat ringkas sebelum meninggalkan DKU. Saya tidak tahu cara untuk menjawab soalan itu. Pada kala itu, saya dan calon Fakulti Penulisan perlu mengadaptasi petikan daripada sebuah novel ke dalam bentuk drama. Aduh, ini satu perkara yang berat bagi saya. Bagaimana mahu mengadaptasi petikan novel ke dalam bentuk drama? Saya langsung tidak ingat akan format skrip drama kajian KOMSAS. Perlahan-lahan saya cuba bertanya kepada Kak Rozi di sebelah yang asyik menulis. Akan tetapi rasa takut untuk bercakap dalam sesi peperiksaan seperti itu membataskan saya. Saya tidak tahu cara untuk menjawab soalan itu. Hampir menitis air mata saya kerana tidak tahu bagaimana cara untuk menggubahnya ke dalam bentuk drama. Saya berdiam tanpa menulis apa-apa dalam sela masa yang agak lama. Saya melihat rakan-rakan di bahagian bawah, ada juga seorang lelaki berkemeja putih dengan bertali leher yang tidak menulis apa-apa, tidak lama selepas itu dia meninggalkan DKU. Saya kian gelisah.
Akhirnya, saya tulis saja 'skrip drama' ikut cara saya. Memang saya tidak ingat langsung akan format skrip drama dalam KOMSAS kerana kajian drama merupakan satu bahagian KOMSAS yang sangat saya tidak gemar. Dahulu. Saya tulis juga. Saya tidak mahu keluar dengan kertas kosong. Saya tidak pernah berbuat demikian sepanjang hidup saya bergelar pelajar. Lalu saya tulis 'skrip drama' saya seperti ini :
Adegan 1
Pak Mat duduk di bawah sebatang pohon melihat rakan-rakan askarnya .....
Adegan 2
Mereka mengejar bla bla bla bla bla.
Saya tulis begitu untuk beberapa adegan sebanyak dua halaman dengan perincian yang panjang lebar, tanpa dialog atau format yang sepatutnya. Selepas sesi itu, saya bertanya kepada Kak Rozi dan dia memberitahu saya bentuk sebenarnya. Nah, jantung saya bagai mahu gugur apabila mengetahui benar salah cara saya menulis itu. Selepas sesi itu, kami dibenarkan rehat sehingga jam dua. Sesi temu duga saya bermula pada jam 2:30 petang di Bilik Seminar 7. Rakan saya masih setia menanti saya di ruang duduk di Balai Beringin. Ketika duduk di luar Bilik Seminar sementara menanti giliran, saya bersembang dengan seorang pegawai ini. Saya masih ingat wajah dan suaranya sehingga kini namun tidak lagi saya temui dia sesudah saya bergelar siswa di ASWARA sehingga kini. Melalui duduk saya, kelihatan Asrul Sany di hujung bahagian kanan kaki lima bilik seminar. Dia nampak santai dan tenang. Tidak seperti saya yang gelisah dan kesejukan.
Sebelum memasuki Bilik Seminar 7 untuk ditemu duga, saya menarik nafas dalam-dalam dan memulakan langkah dengan nama Allah. Saya memakai baju biru ketika itu, bukan warna kegemaran saya. Saya duduk di kerusi yang jaraknya dalam dua meter dari meja panel penguji. Di hadapan saya ialah En. Zakaria Ariffin dengan wajah serius tahap tinggi. Di sebelah kanan En. Z ketika itu ialah En. Ridzuan Harun yang selamba dengan wajah ketatnya. Saya berkata di dalam hati ' Kenapa garang-garang muka manusia ni.' Akan tetapi saya tetap senyum dan memperlihatkan keyakinan diri. En. Zakaria Ariffin yang bertanya itu dan ini manakala En. Ridzuan Harun saya lihat sebagai pemerhati dan peneliti dokumen-dokumen yang saya bawa. Wajahnya tidak menunjukkan apa-apa emosi melainkan keseriusan yang melampau.
Saya dapat menjawab soalan-soalan En. Zakaria Ariffin mengenai ASWARA. Memang kajian saya mengenai ASWARA banyak manfaatnya. Saya juga ditanya akan sebab memilih ASWARA dan saya berikan alasan saya.
"Kenapa anda memilih ASWARA untuk melanjutkan pengajian?"
"Kerana saya yakin akan kemampuan ASWARA yang sudah hampir 14 tahun melahirkan ramai seniman yang berjaya." (Chewah, saya kata dalam hati).
"Macam mana anda mahu jadi penulis sekiranya anda sudah berumah tangga atau sudah sibuk dengan hal-hal lain ..." provok En. Z lagi.
"Tidak semestinya seorang penulis wanita tidak boleh meneruskan tanggungjawabnya untuk menulis. Saya ambil contoh novelis Norhayati Berahim. Beliau seorang wanita, isteri dan ibu ... akan tetapi beliau merupakan penulis yang sangat prolifik bla bla bla."
"Apakah novel terakhir yang anda baca?"
"Saya baru habis membaca novel Biarkan Aku Menangis karya Norhayati Berahim."
"Jadi anda tahu banyak tentang NB?"
"Ya, saya mengikuti perkembangan tulisan beliau."
Jawab saya dengan sangat yakin juga untuk soalan-soalan seterusnya. Sebenarnya, saya tidak kenal penulis-penulis yang mengangkat novel sastera. Saya hanya kenal Norhayati Berahim, Aina Emir dan penulis-penulis Alaf 21. Malu juga apabila saya mengenangkan kebanggaan saya terhadap karya-karya
popular dan langsung tidak mengendahkan kewujudan karya sastera.
Hanya satu soalan En. Zakaria Ariffin sahaja yang membuatkan saya agak terkesima dan sukar untuk menjawabnya.
"Pernah tengok teater?"
"Tidak pernah lagi."
"Kenapa? Anda tinggal di Selayang. Selayang dengan sini bukan jauh sangat."
Saya tidak dapat menjawab soalan ini. Perlukah saya menjawab yang saya memang tidak pernah menonton teater dan tidak berminat dengan teater. Saya tidak pernah tahu ada pementasan teater yang aktif di Kuala Lumpur. Jarak antara Selayang dengan Kuala Lumpur bukan apa-apa faktor untuk membolehkan saya menonton teater (ini hanya saya jawab di dalam hati).
Sesi temu duga berlangsung lebih sepuluh minit. Saya keluar dengan rasa gembira dan yakin sehingga membuatkan saya lupa bahawa saya boleh saja menuju Balai Beringin dengan menggunakan lif, akan tetapi saya telah berjalan kaki dari lobi dan mengelilingi ASWARA untuk menemui rakan saya di Balai Beringin. Namun, saya berpuas hati dengan sesi temu duga itu yang nyata berbeza dengan sesi temu duga yang pernah saya hadiri untuk kursus yang hampir sama di sebuah institusi.
Selepas hari itu, saya terus berdoa agar permohonan saya diluluskan. Dua minggu selepas temu duga, saya menghubungi ASWARA beberapa kali untuk jawapan permohonan saya kerana pada tangan saya sudah tersedia borang kemasukan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia di bawah kursus Bahasa dan Linguistik Melayu. Kursus yang lebih saya minati dan dekat di hati saya. Namun, hati saya turut terikat untuk menunggu keputusan dari pihak ASWARA. Harapan saya untuk diterima di ASWARA semakin meninggi. Sehingga pada satu tengah hari, saya menghubungi lagi pihak ASWARA dan bertanya mengenai permohonan saya. Saya dimaklumkan bahawa permohonan saya berjaya dan saya diterima melanjutkan pengajian di ASWARA. Maklumat pegawai itu saya minta agar diulang dua kali dalam talian telefon itu. Sehingga kini, surat tawaran kemasukan dan panggilan temu duga masih kemas saya simpan dengan penuh bahagia.
Saya tekad menerima ASWARA sebagai destinasi kembara ilmu saya. Ilmu yang sangat jauh dari kebiasaan saya namun telah mencambahkan minat dan cinta saya terhadap dunia sastera, kini. Pada 06 Januari, saya mendaftarkan diri di ASWARA dan bermulalah kehidupan saya sebagai siswa Fakulti Penulisan ASWARA. Berada di sini membuatkan saya menambah satu lagi fail untuk simpanan karya tersiar. Secara tidak langsung memperlihatkan kejayaan fakulti ini dalam membimbing saya untuk menjadi seorang ahli dalam dunia penulisan.
Sekadar catatan pengalaman dan memorabilia menjejaki Fakulti Penulisan, ASWARA.
Tuhan punya rahsia. Kegagalan temu duga untuk kursus yang sama di sebuah IPTA menempatkan saya di ASWARA yang penuh makna. Terima kasih Allah.